Skip to main content

Dia dan Egonya

 Hari ini aku mengambil cuti untuk menghantar tesis aku di Universiti Malaya. Dengan harapan menggunung supaya cepat-cepatlah tamat perjalanan Master ini.

Aku terpaksa pergi ke Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mengambil tesis aku. Kerana aku tiada pilihan lain. Kedai percetakan UM di fakulti pendidikan sudah tidak mengambil tempahan. Aku juga telah menghubungi Kedai Fussa di Seri Kembangan, namun jawapan yang sama. Disebabkan terdesak, aku telah membuat keputusan untuk menjilid tesis di UKM.

Berbekal duit gaji yang ada, aku memesan e-hailing maxim untuk sampai ke destinasi ku. Setelah hampir 20 minit menunggu, pemandu pun sampai. Seorang pak cik tua itu, keluar dari keretanya, bergerak ke arah ku sambil tersipu-sipu malu. ku sangka pak cik mahu membukakan pintu untuk ku. Namun jangkaan ku meleset. 

"kat bawah ni ada tandas tak?"

Aku hampir tidak mampu berkata-kata. Kerana otak ku tidak mampu merespon sesuatu yang spontan. Namun melihatkan keadaanya agak terdesak, aku segera menjawab,

"kat bawah ni tak de pak cik, tapi kat surau sana ada. Pak cik boleh ikut laluan ini"

"masuklah kereta dulu ya"

kira-kira begitu jawapannya sebelum pak cik tua itu berdesup pergi.

Aku terhibur dengan gelagat pak cik tua itu. Tidak pernah seumur hidupku berjumpa dengan pemandu e-hailing seperti itu. Namun melihatkan umurnya yang sudah lanjut, aku boleh memahaminya.

Lebih kurang 5 minit aku menunggu, pak cik tua itu telah kembali dan bermulalah perjalanan kami.

--------------------------

Perjalanan yang memakan masa hampir 30 minit itu ditemani cerita-cerita pak cik tua itu. Topik yang dibualkan sesuai dengan tahap pemikiranku. Suara yang dilontarkan dapat didengari dengan jelas walaupun pak cik tua itu menghadap sterengnya. Namun aku masih merasakan perjalanan ini sangat la jauh

------------------------

Pusat Pentadbiran Kolej Ungku Omar.

Nama yang tertera dibangunan itu. Bangunan lama. Namun masih terserlah kecantikannya dihiasi pokok-pokok hidup disekelilingnya.

"Pak cik tunggu kejap ya. Saya nak ambil buku"

Aku terus mendaki tangga menuju ke pintu utama. Aku belok ke kiri dan mendaki satu tangga lagi. 

Mudah. Aku sudah jumpa Cyber C.

---------------------

Pintu dikuak lembut. Salam diberi. 

"Assalammualaikum, saya nak ambil buku"

Pemuda itu menjawab dengan senyuman manis terukir dibibirnya.

"UM?"

Ya, jawabku ringkas.

Lalu aku membelek tesis yang telah dicetak itu. Kemas. Cantik. Aku lega. Akhirnya perjalanan ini akan berakhir. Aku gembira. Namun jauh disudut hati, aku merasa tidak sedap hati.

--------------------

Bangunan itu kini berada dihadapanku. Bangunan yang telah menyaksikan seribu satu kisah pahit manis ku bergelar pelajar master.

Aku melangkah masuk. Angin sejuk menerpa tubuh badanku. Kelihatan seorang kakitangan sedang bertugas dikaunter.

Aku terus berjalan ke arah tangga dan akhirnya aku berdiri di hadapan fakulti.

"Assalammualaikum, Encik Udin ada?" tanyaku kepada petugas itu.

En Udin, kakitangan yang menguruskan pelajar master jurusan akaun, datang setelah dipanggil.

-------------------------

Tesis aku disemak. 

Perasaan itu menjelma kembali. Tak sedap hati, sambil mulut ku terkumat-kamit membaca Al-fatihah, mengharapkan Encik Udin tidak melihat kecacatan dalam tesis tersebut.

------------------------

"Tulisan ni nampak besar, awak pakai font berapa?" sambil menunjukkan tulisan yang tertera di buku tersebut.

Ha sudah! Ini boleh jadi kesalahan besar. Dalam dunia ini, tiada maaf akan diberikan jika tersalah pada tempat ini! Kulit buku!

Aku tergamam. Mustahil aku yang salah. Kerana aku telah merujuk Encik Udin sebelum dihantar ke kedai percetakan.

"Yang awak e-mail betul dah. Saya semak betul. Font awak betul. Saiz font betul. Awak hantar kat mana?"

Aku terdiam. Mustahil kedai percetakan salah. Kerana aku sudah membekalkannya dalam bentuk pdf. 

Ya. Pdf. Tujuan supaya format tidak berubah, dan semestinya ....bukan untuk diubah!

----------------------

Encik Udin telah membuktikan kesalahan ku dengan membawa keluar tesis pelajar cemerlang formatnya. Dibuat perbandingan. Dan ya, tulisan dibuku ku tiba-tiba kelihatan buruk dimataku.

"Beza sangat saiz ni. 2mm"

---------------------

Aku segera menghubungi Cyber-c. Namun setelah berkali-kali meminta kepastian, barulah dia mengaku bahawa dia ada melakukan perubahan pada tulisan tersebut!

Aku tergamam sekali lagi. Nasi sudah menjadi bubur. Nak tak nak aku terpaksa cetak semula.

-------------------

Fikiran dengkelku meminta pusat tersebut untuk mencetak semula. Aku memberi ruang dan peluang kedua bagi menebus kesilapannya.

Namun, hairan, dia amat bersifat defensif. Seolah-olah aku yang salah dalam hal ini.

"nak perfect 100% memang tak boleh sebab kami terpaksa custom untuk student luar. Format kami khas untuk student UKM. Jadi, buku tu boleh pulang balik, saya refund" katanya tanpa perasaan serba salah. Tanpa sekelumit kata maaf.

Hairan.

Bukan main penuh iklan di media sosial mempamerkan kejayaanya menjilid tesis-tesis student luar. Namun tidak sesekali dia memesan bahawa format tidak akan sama 100%?

--------------------

Aku bukanlah dungu. Kerana aku juga pernah menjilid buku dengan seorang pak cik tua, yang tiada kena-mengena dengan universiti.

Pusat percetakan yang benar tidak akan sesekali mengubah apa-apa, hatta seinci tahi lalat sekali pun.

Aku tahu itu adalah kesilapan dia. Namun aku tidak mahu menyakiti hatinya. Kerana aku kasihan. 

-------------------

Kini buku ini dipulangkan semula kepada pencetaknya tanpa mengharapkan imbalan. Hanya sebagai simbolik kekecewaan ku.

- Khamis, 8/8/2024-









Comments